Monday 14 November 2011

Kenali Budaya Bangsa dan Agama Anda (ملايو) Sendiri


 
 
Bahasa
Batu Bersurat Kedukan Bukit yang ditulis dalam Tulisan Pallava, ditemui pada tahun 1920 di Kedukan Bukit, Sumatra Selatan. Bertarikh 683 AM, ia adalah artifak tulisan Melayu yang tertua masih wujud.
Bahasa Melayu ialah satu bahasa dari keluarga Austronesia yang merupakan antara bahasa utama di dunia.[52] Variasi dan dialek-dialek Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Ia juga ditutur di Thailand, Filipina, Kepulauan Cocos (Keeling), Pulau Krismas, Sri Lanka, Suriname. Penutur aslinya berjumlah sekitar 33 juta orang di kepulauan Melayu dan ia digunakan sebagai bahasa kedua oleh anggaran 220 juta orang.[52]
Batu Bersurat Terengganu, artifak tulisan tertua dengan tulisan Jawi di atasnya. Kandungannya ialah hukum tempatan yang dipengaruhi Syariat Islam dan oleh itu adalah salah satu bukti terawal pengaruh Islam di Malaysia.
Bahasa Melayu Kuno mula tersebar dengan meluas di kepulauan Melayu ketika zaman kekuasaan empayar Srivijaya. Ia kemudiannya digantikan dengan bahasa Melayu Klasik yang muncul bersama dengan kedatangan Islam dan mencapai puncak kegemilangannya ketika zaman kesultanan Melaka. Pada kurun ke-15, ia tersebar ke kawasan-kawasan yang di luar kekuasaan Melaka seperti Ternate dan Tidore di Maluku utara. Ketika era ini, bahasa Melayu juga menjadi bahasa istana dan sastera di kerajaan-kerajaan di luar kawasan penutur tradisional bahasa Melayu.[53]
Pada zaman dahulu, bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa ilmu utama di kalangan para ilmuwan Islam. Para pengarang Eropah abad ke-18, seperti Tavernier, Thomassin dan Werndly menggambarkan bahasa Melayu sebagai "bahasa ilmu di seluruh Hindia Timur, sepertimana bahasa Latin di Eropah"[54] Ia juga adalah bahasa yang paling meluas digunakan ketika zaman penjajahan British dan Belanda di Kepulauan Melayu[55].
Loghat Kesultanan Johor atau Johor-Riau adalah tuturan piawai di kalangan orang Melayu di Singapura dan Malaysia, dan ia menjadi dasar asal untuk bahasa Indonesia piawai[56][57][58][59]. Di semenanjung tanah Melayu, loghat Kelantan dalam bentuk tulennya adalah yang paling sukar untuk difahami. Loghat semenanjung lain termasuk loghat Kedah, loghat Melaka, loghat Negeri Sembilan, loghat Perak, loghat Pahang dan loghat Terengganu. Di Thailand, Melayu Satun bertutur seperti loghat Kedah sementara yang di wilayah-wilayah Patani bertutur seperti loghat Kelantan. Di Brunei, ada pelbagai loghat Melayu yang digunakan; Bahasa Melayu Diraja, Kedayan, Kampong Ayer, Bahasa Melayu Pasar dan Bahasa Melayu Brunei[60].
Bahasa Melayu mengikut sejarah ditulis dalam Pallava, Kawi dan Rencong. Selepas ketibaan Islam, tulisan Jawi yang berasaskan abjad Arab mula digunakan dan masih wujud hari ini sebagai tulisan rasmi di Malaysia dan Brunei [61], dan juga tulisan rasmi untuk bahasa Yawi di selatan Thailand. Bermula dari abad ke-17, akibat dari penjajahan British dan Belanda, tulisan Jawi secara beransur-ansur digantikan dengan tulisan Rumi[62] yang akhirnya menjadi tulisan moden rasmi untuk bahasa Melayu di Malaysia, Singapura, dan Indonesia ( tulisan rasmi lain di Brunei).

Sastera
Kesusasteraan Melayu kaya dengan khazanah sastera lisan dan sastera klasik yang sebilangan besarnya mengandungi kisah dari pelbagai lapisan masyarakat, dari pekerja rumah tangga ke menteri, dari hakim ke Raja, dan merentasi pelbagai zaman, dari zaman silam hingga ke zaman kontemporari, yang bersama-sama membentuk identiti kemelayuan yang pelbagai[63].
Hikayat Merong Mahawangsa dalam tulisan Jawi. Ia juga digelar Sejarah Kedah dan merupakan sebuah karya sastera Melayu silam yang membabadkan keturunan Merong Mahawangsa dan pengasasan negeri Kedah.
Bahasa Melayu ialah bahasa yang lembut dan halus. Keaslian dan keindahan sastera Melayu dapat dilihat dalam elemen puisinya, yang menekankan penggunaan rima dan irama. Antara bentuk puisi Melayu yang terkenal ialah - Pantun, Syair dan Gurindam.
Bentuk terawal sastera Melayu adalah sastera lisan dan tema utamanya ialah cerita dongeng tentang alam semula jadi, haiwan dan manusia. Cerita dongeng dihafal dan diwarisi dari satu keturunan penglipur lara ke keturunan yang seterusnya. Banyak dari cerita-cerita ini dikarang oleh penglipur lara contohnya; Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Budiman, Hikayat Raja Donan, Hikayat Anggun Cik Tunggal, dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Apabila pengaruh budaya India mula menyebar ke seluruh kepulauan Melayu kira-kira 2000 tahun yang lalu, sastera Melayu mula menggabungkan elemen-elemen dari India. Pada zaman Hindu-Buddha ini, karya-karya dari sastera Sanskrit dan mitologi Hindu diterjemah, dan diadaptasi ke dalam sastera Melayu. Antara karya-karya yang bersusur galur dari zaman ini ialah Hikayat Seri Rama (suatu terjemahan bebas Ramayana) dan Hikayat Panca Tanderan (suatu adaptasi Hitopadesha) [64].
Zaman sastera Melayu klasik bermula selepas ketibaan Islam dan penciptaan tulisan Jawi (tulisan yang berasaskan abjad Arab). Sejak itu, elemen-elemen Islam mula membawa pengaruh yang besar dalam sastera Melayu. Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303, adalah penulisan naratif Melayu terawal yang diketahu wujud. Batu ini dipahat dengan catatan sejarah, undang-undang, dan kisah cinta dalam tulisan Jawi[65]. Karya yang dianggap terpenting dalam sastera Melayu pula ialah Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang sangat masyhur itu. Ia pernah digelar karya sastera Melayu yang "paling masyhur, mempunyai ciri tersendiri, dan yang terbaik", oleh sarjana terkenal dalam pengajian Melayu, Sir Richard O. Winstedt.[66] Tarikh sebenar bila Sejarah Melayu ditulis dan siapa penulis asalnya adalah tidak diketahui[65], namun atas titah perintah Sultan Alauddin Riayat Shah III dari Johor pada 1612, Tun Sri Lanang menyelia proses penyuntingan dan penyusunannya.[67].
Pada abad ke-19, sastera Melayu telah mengalami revolusi penting melalui karya-karya Abdullah Abdul Kadir Munshi, seorang munshi Singapura kelahiran Melaka yang terkenal[64]. Pada zamannya, Abdullah dianggap sebagai orang Melayu yang paling terpelajar pernah menulis[64], salah seorang pembaharu terhebat dalam persuratan Melayu[68] dan juga dianggap bapa sastera Melayu moden[65]. Karya-karya beliau yang terpenting ialah Hikayat Abdullah (sebuah autobiografi), Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan ( catatan tentang perjalanannya untuk kerajaan Singapura ke Kelantan), dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Mekah (catatan tentang perjalanannya untuk menunaikan Haji di Mekah). Karya-karya beliau merupakan inspirasi bagi generasi pengarang yang seterusnya dan menandakan tahap awal peralihan dari zaman sastera Melayu klasik ke zaman sastera Melayu moden.[68].

Agama
Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin di Brunei. Kerajaan ini menggasuh Melayu Islam Beraja sebagai falsafah negara sejak kemerdekaannya pada 1984.
Pada awalnya, orang Melayu adalah umat animisme yang mempercayai kewujudan semangat dalam semua benda.[37]. Pada permulaan Zaman Kristian, agama Hindu dan agama Buddha Mahayana diperkenalkan oleh para pedagang India ke Kepulauan Melayu, di mana ia berkembang dengan pesat sehingga kedatangan Islam yang dibawa oleh pedagang Arab, India dan Cina.
Seorang lelaki Melayu yang berpakaian Melayu menunaikan solat di sebuah masjid. Dianggarkan 99.99% orang Melayu kini adalah pengikut Islam Sunah Waljamaah. Gejala murtad di kalangan orang Melayu Islam adalah sangat jarang, tetapi bukan tidak pernah didengari.
Pada abad ke-15, aliran mazhab Sunah Waljamaah ortodoks tersebar dengan meluas di kepulauan Melayu di bawah peranan kesultanan Melaka. Berbeza dengan agama Hindu yang mengubah masyarakat Melayu awal secara lahiriah, Islam dapat dikatakan berakar kuat dalam hati dan minda orang Melayu[69] Selepas zaman ini, secara tradisinya, identiti orang Melayu adalah sangat berkait rapat dengan Islam[70] dan ia berkekalan sehingga hari ini[69] Kaitan ini sangat kuat sehinggakan apabila seseorang dari suku lain memeluk agama Islam di alam Melayu, beliau dikatakan akan "masuk Melayu"[48].
Dari pemerhatian orientalis Inggeris dan pentadbir kolonial Malaya British, Richard Olaf Winstedt yang pernah berada di Tanah Melayu dari tahun 1902 hingga 1939, kepercayaan-kepercayaan lama yang berasal dari zaman sebelum Islam masih berakar dalam budaya Melayu pada zaman tersebut. Aliran sufisme atau unsur mistik dari mazhab Syiah, yang sepatutnya tiada tempat dalam mazhab Sunah Waljamaah ortodoks juga diamalkan oleh orang Melayu, disamping unsur-unsur lama dari fahaman animisme dan agama Hindu-Buddha[71].
Keadaan ini bagaimanapun berubah pada era pembaharuan Islam (juga digelar Islamisasi semula[72]) yang berlaku di seluruh dunia pada tahun 1970an. Banyak amalan dan tradisi yang bertentangan dengan ajaran Islam dan mengandungi unsur-unsur kepercayaan lama yang syirik mula ditinggalkan oleh orang Melayu. Antaranya ialah temasya Mandi Safar yang sangat terkenal diamalkan suatu ketika dahulu. Pesta mandi untuk kesucian rohani ini dikatakan mengandungi unsur-unsur dari amalan Durga Puja agama Hindu.[73].
Lebih kurang 99.9% orang Melayu moden adalah penganut Islam dari mazhab Sunah Waljamaah[9][10][11] dan semua perayaan-perayaan terpenting Melayu adalah perayaan Islam; Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Awal Muharram (Tahun Baru Islam) dan Maulidur Rasul (Hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W).

Seni bina
Replika istana Kesultanan Melaka yang dibina berdasarkan maklumat dan data yang diperolehi dari Sejarah Melayu. Teks bersejarah ini mengandungi rujukan tentang pembinaan dan seni bina istana-istana pada era pemerintahan Sultan Mansur Shah dari tahun 1458 hingga 1477.
Seni bina kediaman asli di kepulauan Melayu boleh dibahagikan kepada dua bentuk utama. Yang pertama ialah bentuk kediaman puak yang terbahagi pula kepada dua iaitu bentuk vernakular orang asli dan bentuk imej bot yang dimiliki suku kaum Flores, Nias, Batak, Melanesia, Toraja dan Papua. Bentuk kedua ialah seni bina masyarakat maritim pesisir yang lebih maju seperti Melayu, Bugis, Acheh, Minangkabau dan lain-lain, yang mendirikan pelabuhan, kerajaan, malah empayar-empayar.[74] Seperti juga dalam seni bina suku-suku lain di kepulauan Melayu, kayu merupakan bahan utama dalam pembinaan rumah tradisional Melayu[44]. Bagaimanapun, penemuan struktur batu lama terutamanya binaan rumah ibadat dari zaman kerajaan-kerajaan Melayu purba di tanah Melayu dan empayar Srivijaya, membuktikan yang orang Melayu juga menggunakan batu dalam pembinaan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, lapangan terbang ini menggabungkan beberapa ciri seni bina Melayu tradisional.
Terdapat bukti arkeologi binaan candi campuran batu dan kayu di lembah bujang, Kedah yang dipengaruhi oleh seni bina India bertarikh seawal kurun pertama sebelum Masihi. Dalam kawasan yang berkeluasan lebih 350 kilometer persegi, 87 tapak bersejarah telah dilaporkan yang terdiri dari relau besi, dewan dan jeti di sepanjang sungai purba Lembah Bujang.[75][76] Terdapat juga candi-candi yang ditemui di puncak-puncak gunung, satu ciri yang mungkin berasal dari kepercayaan orang Melayu purba mengenai kesucian tempat-tempat tinggi[77].
Candi Muara Takus dan Candi Muaro Jambi di Sumatra merupakan antara peninggalan arkeologi yang berkaitan dengan elemen-elemen seni bina empayar Srivijaya. Sebahagian besar peninggalan seni bina Srivijaya dapat juga ditemui di Chaiya (kini sebuah wilayah di Thailand) di Semenanjung Melayu, yang pernah menjadi pusat terpenting pada zaman Srivijaya[78][79][80]. Bentuk unik struktur rumah ibadat di Chaiya terdiri daripada ruang sel yang menempatkan imej Buddha dan puncak struktur yang dinaikkan dalam bentuk stupa dengan teres yang bertingkat-tingkat, yang dapat dilihat pada Wat Pra Borom That.[79]
Gambaran orang asing yang terawal tentang seni bina Melayu di tanah Melayu dapat ditemui dalam beberapa catatan China. Satu catatan dari abad ke-7 menceritakan tentang penziarah-penziarah Buddha yang singgah di Langkasuka ada menerangkan yang bandarnya dikelilingi tembok dengan menara-menara peninjau, dan memiliki pintu berkembar yang besar[81] Satu lagi catatan abad ke-7 oleh utusan khas China ke Kerajaan Bumi Merah merekodkan yang ibu kotanya mempunyai 3 pintu utama yang jarak antaranya adalah 100 langkah dan dihiasi dengan lukisan bertemakan Buddha dan semangat-semangat wanita.[74]
Rumah adat Melayu Sarawak dari Borneo Malaysia.
Keadaan fizikal binaan kayu yang mudah rosak dan kurangnya catatan tentang hasil seni bina sebelum abad ke-15, menyebabkan pengetahuan terperinci tentang seni bina Melayu terhad kepada 500 tahun dahulu sahaja. Keterangan terperinci tentang seni bina Melayu yang terawal adalah mengenai Istana besar Sultan Mansur Shah yang memerintah Melaka dari tahun 1458 hingga 1477.[44][74]. Menurut Sejarah Melayu, bangunan ini mempunyai tujuh struktur ruang di atas tiang-tiang kayu, dengan tujuh bumbung dari genting tembaga yang berlapis-lapis dan menara-menara bersadur emas, dihiasi dengan cermin kaca Cina[74] Sumber Portugis juga ada menerangkan tentang Istana Sultan Mansur Shah serta binaan masjid batu di Melaka.
Anjung Seni Idrus Tintin di Pekanbaru, Riau. Sebuah pusat pertunjukan seni utama di Indonesia bercirikan seni bina Melayu.
Rumah adat Melayu tradisional dibina menggunakan struktur rangka kayu yang sederhana. Ia biasanya mempunyai bumbung yang cerun, serambi di bahagian depan, siling tinggi, banyak bukaan di dinding untuk pengalihan udara[82], dan sering dihiasi dengan ukiran kayu yang indah. Kecantikan dan kualiti ukiran kayu Melayu melambangkan taraf sosial dan pangkat pemilik-pemiliknya.[83] Hasil seni bina Melayu yang paling indah biasanya dapat dilihat pada istana raja-raja dan rumah golongan bangsawan serta rumah-rumah ibadat tradisional.
Banyak elemen reka bentuk seni bina Melayu kini diadaptasi pada struktur moden untuk mencerminkan identiti Melayu. Struktur bumbung beralun yang disokong oleh kaki bajang di bangunan KLIA adalah diilhamkan dari rumah kampung gaya Melayu tradisional. Kayu yang merupakan elemen penting dalam pembinaan bangunan Melayu tradisional, juga diterjemahkan dan digunakan semula dalam landskap moden di KLIA dan Putrajaya. Di Putrajaya, pejabat Perdana Menteri dibariskan dengan panel kayu untuk mencapai matlamat reka bentuk ini. Bahagian bawah struktur atap berkubah KLIA kelihatan seakan-akan "melitupi jalur nipis kayu" yang menurut arkiteknya, "mencerminkan struktur kayu vernakular Malaysia, menginterpretasi semula kaedah pembinaan tradisional dan menguatkan identiti tempatan". Selain itu, elemen-elemen bukan seni bina warisan Melayu juga digunakan pada bangunan moden. Pintu masuk ke dalam Menara Kembar Petronas dihiasi dengan motif-motif Melayu kontemporari yang diadaptasi dari seni kraftangan tradisional, termasuk Songket dan ukiran kayu yang diilhamkan dari imej-imej hutan hujan tropika[84].

Seni tampak
Ukiran kayu adalah bahagian utama seni tampak Melayu klasik. Orang Melayu secara tradisinya menghiasi tugu, bot, senjata, kubur, alat muzik, dan perkakas dengan motif bunga, seni khat, geometri dan ciri kosmos. Seni ini dihasilkan dengan membuang sebahagian permukaan kayu dengan alat-alat tajam, mengikut corak-corak, gubahan dan susunan khusus. Ia dilihat sebagai satu bentuk pengabdian si tukang kayu kepada Sang Pencipta dan anugerah kepada masyarakat.[85]
Seni ukiran kayu berkembang maju dalam budaya Melayu hasil dari banyaknya sumber kayu di kepulauan Melayu dan juga kemahiran tukang kayu. Kayu yang biasa digunakan ialah spesis kayu keras tropika yang tahan lama dan mampu menahan serangan kulat, kumbang dan anai-anai. Selain itu, iklim tropika semula jadi yang memiliki kepelbagaian flora dan fauna serta daya kosmik, telah memberi inspirasi kepada motif-motif samada dalam bentuk abstrak atau stail di atas papan kayu. Dengan kedatangan Islam, bentuk geometri dan seni khat Islam telah diperkenalkan dalam seni ukiran kayu.[86]
Rumah-rumah atau masjid Melayu tradisional biasanya akan dihiasi dengan lebih daripada 20 komponen ukiran. Ukiran pada dinding dan panel membenarkan aliran udara yang berkesan di dalam dan luar bangunan dan dapat membiarkan sinaran matahari menerangi bahagian dalam struktur. Pada masa yang sama, bayang-bayang berasaskan motif-motif yang terhasil dari panel akan menambah seri pada bahagian lantai. Oleh itu, setiap ukiran kayu tidak hanya untuk nilai estetika semata-mata, tapi juga untuk fungsi-fungsi khusus.

Masakan
Nasi lemak, nasi yang dikukus dengan santan.
Setiap wilayah tradisional Melayu mempunyai makanan khasnya yang tersendiri - Terengganu dan Kelantan terkenal dengan Nasi dagang, Nasi kerabu and Keropok lekor, Negeri sembilan dengan masakan berlemak, Pahang dengan gulai tempoyak, Kedah dengan Asam laksa, Melaka dengan Asam pedas dan Brunei dengan hidangan Ambuyat.
Ciri utama masakan tradisional Melayu ialah penggunaan rempah ratus yang banyak, serta santan yang penting untuk menghasilkan makanan berlemak dan pekat. Perasa seperti belacan dan budu adalah penting untuk menambah kesedapan makanan. Belacan juga digunakan sebagai bahan asas bersama-sama dengan cili, bawang dan bawang putih untuk menghasilkan sambal, satu lagi perasa utama dalam hidangan. Masakan Melayu juga banyak menggunakan lengkuas dan serai makan.[41]
Hampir setiap masakan Melayu dihidang bersama dengan nasi, makanan ruji kepada orang Melayu dan juga kebanyakan etnik lain di Asia. Walaupun terdapat banyak jenis makanan dalam masakan Melayu, biasanya semua dihidangkan sekaligus, tanpa turutan sajian seperti dalam budaya Barat. Makanan akan dijamah dengan tertib menggunakan tangan kanan (tangan kiri dikhususkan untuk penyucian diri) dan orang Melayu jarang menggunakan perkakas.[44]. Oleh kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam, masakan Melayu mengikut hukum diet halal Islam secara ketat. Pengambilan proten kebanyakannya diambil dari daging lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik dan ikan. Daging babi, daging tidak halal yang lain serta alkohol adalah dilarang dan tidak terdapat dalam diet makanan seharian Melayu.
Nasi lemak, sejenis nasi yang dimasak dalam santan pekat mungkin merupakan hidangan Melayu paling terkenal yang mudah didapati di setiap pekan dan kampung Melayu serta dianggap hidangan kebangsaan Malaysia[87]. Satu lagi contoh ialah Ketupat atau nasi himpit, nasi lekit termampat yang dimasak di dalam daun kelapa, terkenal dihidang ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pelbagai jenis daging dan sayur-sayuran diguna untuk menghasilkan Gulai atau Kari, sejenis hidangan kari dengan pelbagai campuran rempah yang memaparkan pengaruh India yang jelas yang diterima oleh orang Melayu sejak zaman silam. Laksa, satu kacukan masakan Melayu dan Cina Peranakan juga adalah satu hidangan yang masyhur. Masakan Melayu juga mengadaptasi sesetengah tradisi masakan jiran-jirannya, seperti rendang dari Minangkabau di Sumatra, dan satay dari Jawa, bagaimanapun orang Melayu telah membangunkan cita rasa dan resipi khas mereka yang tersendiri.

Seni pertunjukan
Kumpulan penari Melayu Pattani mempersembahkan Mak Yong pada era pemerintahan Raja Rama V dari Siam (1853-1910).
Seni pertunjukan orang Melayu adalah kaya dengan pelbagai jenis muzik, tarian dan teater yang merupakan gabungan dari pelbagai pengaruh budaya. Jenis genre adalah pelbagai, dari drama tari Melayu asli seperti Mak Yong sehingga ke tarian-tarian dari pengaruh Arab seperti Zapin. Koreografi gerakan juga adalah berbeza-beza, dari langkah dan talaan yang mudah seperti dalam Dikir barat sehinggalah ke gerakan yang lebih sukar seperti dalam Joget Gamelan.
Muzik Melayu tradisional pada asasnya menggunakan genderang. Pelbagai jenis gong memberikan rentak untuk tarian-tarian. Terdapat juga gendang dari pelbagai saiz, dari rebana ubi besar yang digunakan untuk acara penting hingga ke kompang kecil yang digunakan untuk mengiringi persembahan dalam upacara keagamaan dan perkahwinan.[88]
Kesenian Nobat merupakan alat kebesaran diraja dan menurut catatan sejarah ia digunakan sejak zaman Kesultanan Kedah dan Kesultanan Melayu Melaka. Ia adalah lambang kebesaran Raja-Raja Melayu sehingga hari ini dan hanya dipersembahkan dalam upacara-upacara keagamaan dan diraja yang penting, contohnya dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Orkestra tradisional Nobat terdiri dari alat muzik nehara, gendang, nafiri, serunai dan kadang kadang termasuk gong bertombol dan sepasang simbal.[44]
Pengaruh India adalah kuat dalam wayang kulit di mana kisah-kisah dari epik Hindu; Ramayana & Mahabharata menjadi repertoir utama. Terdapat empat jenis teater wayang kulit yang dapat ditemui di semenanjung Tanah Melayu; Wayang Gedek, Wayang Purwa, Wayang Melayu dan Wayang Siam[89][90][91].
Antara seni pertunjukan Melayu lain yang terkenal ialah; teater Bangsawan, balada cinta Dondang sayang dan tarian Mak Inang dari Kesultanan Melaka, teater Jikey dan Mek Mulung dari Kedah, tarian Asyik dan drama tari Menora dari Patani dan Kelantan, drama tari Ulek mayang dan tarian Rodat dari Terengganu, dan teater Boria dari Pulau Pinang.

Pakaian tradisional
Kanak-kanak Melayu berpakaian tradisional ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri
Dalam budaya Melayu, pakaian dan tekstil adalah sangat tinggi kedudukannya dan melambangkan kecantikan, kuasa dan pangkat. Beberapa keterangan dalam Hikayat-Hikayat Melayu ada menekankan peri pentingnya kedudukan tekstil.[92] Sejarah industri tenunan Melayu dapat ditelusuri sejak abad ke-13 apabila laluan perdagangan di Timur berkembang pesat di bawah peranan kerajaan dinasti Song. Keterangan tentang tekstil buatan tempatan dan kemajuan industri penyulaman di semenanjung Tanah Melayu ada dinyatakan dalam beberapa catatan China dan India.[92] Antara jenis tekstil Melayu yang terkenal dan masih wujud sehingga hari ini ialah Songket dan Batik.
Pakaian tradisional Melayu terawal adalah ringkas, wanitanya mengenakan sarung yang menutup bahagian bawah tubuh hingga ke dada sementara lelakinya mengenakan baju ringkas, samada berlengan atau tidak, dengan seluar pendek hingga ke paras lutut. Bagaimanapun, apabila perdagangan dengan dunia luar berkembang maju, cara berpakaian orang Melayu mula mendapat pengaruh luar dan berubah menjadi lebih sofistikated. Abad ke-15 adalah kemuncak zaman kesultanan Melayu Melaka yang Islam adalah agama rasminya. Seperti diceritakan dalam Sejarah Melayu, ketika inilah pakaian tradisional Baju Melayu dicipta. Pengaruh Islam yang kuat telah mengubah cara berpakaian orang Melayu kemudiannya kepada ciri-ciri yang bersesuaian dengan agama Islam. Pakaian umum Melayu klasik untuk lelaki terdiri dari baju, seluar kaki kecil, sarung yang dipakai di pinggang, dan tanjak atau tengkolok yang dipakai di kepala. Adalah perkara biasa bagi seorang pahlawan Melayu menyisipkan keris di lipatan hadapan sarung. Pakaian Melayu versi wanita yang terawal pula adalah lebih longgar dan panjang. Bagaimanapuan ia kemudiannya diperbaharui dan dipopularkan Sultan Abu Bakar dari kesultanan Johor pada lewat kurun ke-19, menjadi bentuk baju kurung yang dipakai sehingga hari ini.
Terdapat pelbagai bentuk dan variasi pakaian tradisional Melayu yang wujud mengikut rantau-rantau yang berbeza, namun jenis yang paling masyhur sehingga hari ini ialah baju kurung (untuk wanita) dan baju Melayu (untuk lelaki), yang kedua-duanya diakui sebagai pakaian kebangsaan untuk Malaysia dan Brunei[93][94] dan masih dipakai oleh komuniti Melayu di Singapura, Thailand dan Indonesia. Berbeza dengan baju Melayu yang masih dipakai hanya dalam upacara-upacara tertentu, baju kurung adalah lebih popular dan dipakai setiap hari oleh ramai wanita Melayu. Kelibat kakitangan awam, pekerja profesional dan pelajar wanita yang memakai baju kurung adalah pemandangan biasa di Malaysia dan Brunei.

Seni mempertahankan diri
Seorang pesilat wanita dari Singapura.
Seni Silat Melayu telah diamalkan orang Melayu sejak ratusan tahun dahulu dan kini dapat ditemui di seluruh kepulauan Melayu terutamanya di wilayah tradisi Melayu iaitu semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Riau, Sumatra dan pesisir pantai Borneo. Seni Silat dikatakan berkembang hasil dari pemerhatian dan peniruan gerakan haiwan seperti monyet, helang dan harimau. Ia menggabungkan gerakan menendang, menumbuk dan menjatuhkan serta penggunaan senjata. Walaupun senjata utama orang Melayu adalah Keris, terdapat juga senjata-senjata lain yang digunakan dalam silat seperti; Lading, Badik, Tekpi, Tumbuk Lada, Kerambit, Parang, Sundang, Sabit, Lembing dan batang buluh.
Sejarah asal-usul silat adalah sangat sukar dipastikan kerana kurangnya rekod bertulis yang wujud, selain dari sejarah lisan dan legenda yang diperturunkan oleh mahaguru-mahaguru silat. Dipercayai pada abad ke-6 masihi, seni perang Melayu terawal telah mula diamalkan di semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Bentuk-bentuk terawal Silat dikatakan telah berkembang dan digunakan dalam angkatan bersenjata kerajaan-kerajaan Melayu purba di semenanjung seperti Langkasuka dan Kedah serta empayar Srivijaya.[95][41][96][97]
Pengaruh empayar Melayu Srivijaya dan Kesultanan Melaka telah menyumbang kepada penyebaran seni mempertahankan diri ini ke seluruh pelusuk Kepulauan Melayu. Melalui rangkaian muara-muara dan sungai-sungai yang menjadi pusat utama perdagangan, Silat tersebar jauh ke masyarakat pedalaman. Pahlawan legenda Melayu dari Melaka, Laksamana Hang Tuah merupakan seorang pesilat yang paling terkenal dalam sejarah[98] bahkan dianggap sesetengah pihak sebagai bapa silat Melayu.[99] Sejak zaman klasik Melaka, Silat mengalami diversifikasi yang besar sehingga muncul pelbagai aliran dan variasi yang kemudiannya membentuk apa yang kini diakui secara tradisional sebagai sumber kepada Pencak Silat, istilah generik untuk semua seni mempertahankan diri Indonesia.[100][101] Di Malaysia sahaja, terdapat lebih dari 150 perguruan Silat dari aliran yang berbeza-beza, antara aliran utama perguruan silat yang terkenal ialah Silat Gayong, Silat Cekak, Silat Sendeng, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Lian dan Silat Terlak.[102]
Selain dari seni Silat, Tomoi juga diamalkan oleh orang Melayu terutamanya di negeri-negeri utara semenanjung Tanah Melayu. Sama seperti Pradal serey dan Muay Thai, Tomoi merupakan salah satu varian kickboxing versi Indo-China yang dipercayai telah disebarkan di tanah besar Asia Tenggara sejak zaman empayar Funan.

Permainan tradisional
Sebuah bengkel pembuat wau di Kelantan, Malaysia.
Permainan Melayu tradisional biasanya memerlukan kemahiran kraf dan kecekapan tangan, dan asal-usulnya dapat ditelusuri sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sepak raga dan layang-layang adalah antara permainan tradisional yang ada dinyatakan dalam teks Sejarah Melayu, dimainkan oleh golongan bangsawan dan keluarga diraja Kesultanan Melayu Melaka.[103][104][105]
Sepak Raga yang kini dikenali sebagai Sepak takraw adalah salah satu permainan Melayu yang termasyhur dan telah dimainkan sejak ratusan tahun dahulu. Secara tradisi, Sepak raga dimainkan dalam bulatan dengan menendang dan menimbang bola rotan menggunakan mana-mana bahagian badan kecuali lengan dan tangan. Ia kini diakui sebagai sukan kebangsaan Malaysia[106][107] dan dimasukkan dalam temasya sukan antarabangsa seperti Sukan Asia dan Sukan Asia Tenggara.
Permainan masyhur yang lain adalah permainan Gasing yang biasanya dimainkan selepas musim menuai. Kemahiran hebat dalam pertukangan adalah diperlukan untuk menghasilkan gasing yang paling kompetitif, ada di antaranya yang dapat berputar sehingga dua jam lamanya.[41]
Kemungkinan permainan Melayu yang paling masyhur adalah layang-layang atau lebih dikenali sebagai Wau di semenanjung Tanah Melayu. Pertandingan menerbangkan Wau mengambil tempat dengan hakim-hakim menganugerahkan markah untuk kemahiran pertukangan (Wau adalah objek cantik yang berwarna-warni yang dibina dengan bingkai buluh), bunyi (semua layang-layang Melayu direka bentuk agar dapat menghasilkan bunyi khas apabila berada di udara) dan ketinggian.[41]
Orang Melayu juga mempunyai satu varian mainan berpapan Mancala yang dikenali sebagai Congkak. Permainan ini dimainkan dengan mengalih buah congkak yang diperbuat dari batu, guli, manik atau kerang, pada papan kayu yang berlubang dua belas atau lebih. Mancala diakui sebagai permainan tertua di dunia dan telah dimainkan sejak zaman Mesir Kuno. Apabila permainan ini tersebar luas di seluruh dunia, setiap budaya telah mencipta variannya yang tersendiri termasuklah orang Melayu.[41]

Nama dan Pangkat
Nama peribadi Melayu adalah kompleks, mencerminkan struktur masyarakatnya yang berhierarki, dan pangkat dianggap sangat penting. Ia telah mengalami perubahan yang besar mengikut peredaran zaman, dan mencermikan pelbagai pengaruh luar ke atas masyarakat Melayu sejak berkurun lamanya. Walaupun sesetengah nama Melayu moden masih mengekalkan pengaruh dari nama Melayu asli dan Sanskrit, sebagai umat Islam, orang Melayu telah lama menggunakan nama Arab sebagai tanda agama mereka.
Nama Melayu adalah mengikut sistem patronimi dan boleh terdiri dari sehingga empat bahagian; pangkat, nama diberikan, nama keluarga, dan nama bapa. Sesetengah nama diberikan dan nama bapa boleh terdiri dari dua atau tiga nama, yang menghasilkan nama penuh yang sangat panjang. Contohnya, salah seorang pemain bola sepak kebangsaan Malaysia adalah Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, di mana 'Mohd Aidil Zafuan' adalah tiga nama diberikan dan 'Abdul Radzak' adalah dua nama bapanya.
Selain itu, bahasa Melayu juga mempunyai sistem pangkat dan kehormatan yang sangat kompleks, yang sehingga kini masih digunakan dengan meluas di Malaysia dan Brunei. Dengan meletakkan pangkat Melayu pada nama Melayu biasa, satu nama yang lebih kompleks akan dihasilkan. Perdana Menteri Malaysia kini mempunyai nama penuh Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, di mana 'Dato' Seri' adalah pangkat kehormatan Melayu, 'Mohd Najib' adalah nama peribadinya, 'bin' memperkenalkan pangkat dan nama bapanya, 'Tun' adalah darjah kemuliaan yang lebih tinggi, 'Haji' menandakan bapanya pernah menunaikan Haji di Mekah, dan 'Abdul Razak' adalah nama peribadi bapanya.
Bagaimanapun, nama-nama Melayu yang lebih kompleks dimiliki oleh kerabat diraja Melayu terutamanya Raja-Raja Melayu yang sedang memerintah. Yang di-Pertuan Agong Malaysia mempunyai nama penuh Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, manakala Sultan Brunei dikenali dengan nama rasmi baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

No comments:

Post a Comment