Monday 2 April 2012

Kota Pariaman (Sumatra Barat)


Tabuik kebanggaan masyarakat Pariaman


















Program Pertukaran Belia dan Program Pembelajaran (YES) disambut penuh adat istiadat daripada penduduk Kota Pariaman.

KAMI canggung melihat satu objek setinggi lima meter yang dijulang oleh 10 orang anak muda di Kota Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia. Kami kurang arif dengan maksud yang tersirat. Umpama sebuah ‘menara bergerak', ia dihiasi dengan objek haiwan berwarna hitam, di tengah-tengahnya terletak wajah pengantin wanita dan terdapat sembilan batang payung yang dicucuk di beberapa sudut.
Sambil diiringi dengan paluan gendang, anak-anak muda itu berarak membawa objek berkenaan. Kemudian, delegasi kami iaitu para sukarelawan daripada Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) yang terlibat dalam Program Pertukaran Belia dan Program Pembelajaran (YES) disambut dengan persembahan Silat Minang. Ia diakhiri dengan adat memakan sireh sebagai tanda mengalu-alukan tetamu yang datang bertandang.
“Kami menyambut anda dengan tabuik iaitu satu perayaan tempatan yang dilangsungkan hanya pada 10 Muharam. Oleh kerana anda semua adalah tetamu istimewa kami, jadi anda semua diraikan dengan cara paling terhormat,” demikian kata Asisten II Kota Pariaman, Yaminurizal Msi. Di Malaysia jawatan Asisten tersebut bersamaan dengan pegawai daerah.
Pereka termuda
Berkesempatan berjumpa dengan pembuat peralatan tabuik memberi ruang kepada penulis mengenali lanjut tabuik atau lebih disebut juga sebagai tabuik piaman.
Alfred Mosaddeq, 33, memberitahu, dia sudah tiga tahun membuat model tabuik untuk masyarakat Kota Pariaman.

KIRI: Tabuik yang setinggi 15 meter perlu diangkat enam hingga lapan orang.

Kata Alfred, tabuik yang berasal dari perkataan tabut dalam bahasa Arab bermaksud mengarak adalah satu upacara memperingati Perang Karbala yang melibatkan cucu Nabi Muhammad SAW, Husain Ali.
Perayaan itu dikatakan adalah ekspresi penduduk Sumatera Barat serta penganut Syiah dari Timur Tengah dalam menunjukkan rasa hormat dan duka di atas kematian cucu Rasulullah yang meninggal dunia pada 10 Muharam.
“Sebenarnya, syarat untuk membuat tabuik mestilah mereka yang berumur 40 tahun ke atas. Tetapi disebabkan ia sudah dijadikan sebagai satu budaya dan tarikan pelancong selain acara itu bukan lagi sebagai acara keagamaan, syarat itu dilonggarkan. Saya kini antara pembuat tabuik yang termuda," jelas Alfred panjang lebar.
Rutin
Ujar Alfred, perayaan tabuik piaman sebenarnya dirayakan selama 10 hari bermula pada 1 Muharam lagi. Setiap hari, ia punya acara tertentu. Antaranya berpuasa, upacara menebang batang pisang dan upacara meratapi kesedihan yang biasanya dilakukan oleh kaum ibu.
“Ibu-ibu tua juga akan melakukan persiapan seperti pelbagai kuih-muih tradisional,” katanya.
Membuat sebuah tabuik yang setinggi 15 meter dengan menggunakan elemen rotan bukan mudah. Alfred yang mempunyai bengkel yang bernama Pondok Souvenier Piaman lazimnya akan mengambil tempahan beberapa minggu sebelum hari perayaan.

ANTARA komponen penting dalam membuat tabuik termasuklah sembilan payung yang dikelilingi dengan bunga selapan.

Pada tahun 2009, upah membuat tabuik sekitar RM5,500 tetapi pada tahun berikutnya, bertambah mencecah RM7,000 sebuah.
Buang ke laut
Selaku pembuat tabuik, Alfred berbangga apabila melihat hasil sentuhannya diarak dan disaksikan ratusan ribu pelancong.
“Sejak pukul 6 petang, kota ini sudah dipenuhi manusia. Tabuik akan dijulang pemikul yang mengenakan seragam tradisional bersama dengan kumpulan gendang diarak ke Pantai Gandoriah.
Tabuik tidak boleh disimpan. Sebaliknya ia akan dilempar ke Pantai Gandoriah ketika matahari hendak terbenam.
Ia nampak pelik dan hal ini diakui Alfred. Beritahunya, ada pihak yang menentang upacara itu. Namun, bagi masyarakat Kota Pariaman, ia hanyalah satu kesinambungan budaya yang terus dipertahankan.
“Lagipun, banyak ritual keras sudah tidak dilaksanakan dan kami menganggap tabuik satu budaya yang unik dalam menyatukan masyarakat,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment