Thursday 13 October 2011

keTAHYULan !

Ketahyulan adalah khurafat ..............




KETAHYULAN atau tahyul adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Ia mendatangkan khurafat kepada pemikiran umat Islam. Ketahyulan adalah tradisi yang diamalkan oleh sebahagian orang Melayu secara turun temurun.
Oleh kerana latar orang Melayu berasal dari Hindu-Buddha maka sisa-sisa ketahyulan itu masih ada. Kini, ketahyulan tidak sahaja berkembang dalam pemikiran ilmu dan budaya, tetapi disuburkan oleh corak hiburan pementasan drama dan filem.
Walaupun hari ini tidak terdedah dengan pengaruh silam yang khurafat, tetapi cara ketahyulan dipersembahkan menjadi minat orang Melayu.
Yang amat penting kita insafi adalah faham tahyul boleh membawa kepada syirik dan fahaman tahyul juga bersifat anti-Islam. Faham tahyul boleh menyebabkan pemahaman terhadap yang ghaib disalah ertikan.
Ketahyulan boleh menimbulkan rasa ketakutan kepada sesuatu yang ghaib, sangka buruk terhadap sesuatu boleh menghakis daya juang sesaorang.
Pemikiran yang kritis dan kreatif tidak akan berkembang kerana pengaruh tahyul menjadikan mereka tidak rasional.
Meskipun kita dituntut percaya terhadap faktor-faktor yang ghaib seperti Allah, malaikat dan seumpamanya tetapi sandaran al-Quran memberi kejelasan bahawa perisyaratan daripada Allah sifatnya ilmu dan petunjuk.
Ketahyulan tidak memiliki asas-asas rasional. Ia hanya faktor bayangan manusia yang difantasikan secara kreatif dalam filem, drama dan cerita-cerita rekaan. Mesej yang bakal disampaikan kepada penonton, pembaca dan pendengar adalah rasa ketakutan yang tinggi kepada makhluk seperti jin, syaitan dan iblis tetapi bukannya ketaqwaan yang tinggi kepada Allah SWT.
Umat yang maju tidak menjadikan ketahyulan sebagai asas sandaran. Umat yang maju menjadikan sumber ilmu dan keterampilan dalam membina modal insan dan mampu menempa kemajuan dan perubahan.
Kesan psiko (kejiwaan) kepada remaja yang ditakut-takutkan secara khayali dan penuh fantasi adalah ketidakmampuan mereka berbicara tentang fakta dan data yang sifatnya logik dan saintifik.
Ketahyulan sememangnya boleh membawa keseronokan kepada penonton dan pembaca. Ia mengajak manusia berada di dalam fantasi.
Seolah-olah meletakkan imej jembalang, hantu dan seumpamanya adalah sesuatu yang amat berkuasa dalam menentukan dalam hidup ini.
Ia secara tidak langsung menafikan Allah sebagai pencipta yang Maha Berkuasa dan Maha Agung.
Oleh itu, amat penting kepada kita menjauhkan diri daripada hal-hal tahyul kerana ia bukan sahaja tidak membantu memantapkan akidah kepada Allah, malah menjadikan hati kita ragu-ragu dan dibimbangi bakal terjebak dengan kerja-kerja syirik kepada Allah.
Ajaran sesat yang masih subur dalam masyarakat Melayu dan Islam pada hari ini adalah akibat terlalu percaya kepada faham tahyul mengatasi beriman kepada Allah SWT.
Orang-orang Islam dan Melayu khasnya harus  berfikir saintifik dan berjiwa tadabbur (kaji selidik). Jiwa tadabbur boleh menghubungkan manusia dengan faktor fikir dan zikir untuk mencari kekuatan berfikir.
Dengan berfikir, manusia mengunakan kekuatan akal untuk memahami sesuatu dengan logik dan rasional. Dengan zikir manusia akan diberi pedoman oleh wahyu dan sunnah supaya hati atau kalbu dapat menilai sesuatu perkara.
Gandingan fikir dan zikir menyebabkan manusia mempunyai perspektif yang betul tentang penciptaan dan kejadian.
Manusia harus menginsafi bahawa jin, iblis dan syaitan adalah makhluk Allah diarah sujud kepada manusia  iaitu Adam dan makhluk-makhluk ini sama sekali tidak boleh mengatasi kuasa Allah.

Percaya kepada hal-hal tahyul dan khurafat boleh membawa kita kepada mensyirikkan Allah.


No comments:

Post a Comment